Friday, July 15, 2011

Asal perkataan Allah dan maksudnya

Allah adalah ism alam yang menunjukkan atas zat di mana semua nama Allah yang mulia terhimpun pada Allah. Allah ialah nama-Nya Yang Maha Agung.

Al-Khazin dalam tafsirnya berkata: "Allah adalah nama khas bagi Allah yang bersifat Tunggal dan Esa, tiada musytaq (terbitan) dan tidak disekutukan oleh sesuatu."

Dalam Tafsir Hadaiq al-Rauh al-Raihan menyebut: "Allah maknanya yang berhak diibadat, tidak kepada yang lain."

Konteks Bahasa Melayu

Prof. Syed Mohd Naquib al-Attas menyebut: "Bahasa membayangkan hakikat kewujudan. Menyeludupkan faham-faham kunci yang asing pada sesuatu bahasa melibatkan bukan semata-mata menterjemahkan kata-kata, bahkan lebih mendalam kesannya, ia juga melibatkan penterjemahan rupa cipta perlambangan yang dimiliki oleh sistem besar pandangan alam asing yang tiada bersesuaian dengan pandangan alam yang ditayangkan oleh bahasa yang ke dalamnya faham-faham itu diseludupkan."

Bahasa Melayu merujuk kepada bangsa Melayu. Rumpun bangsa Melayu adalah sinonim dengan agama Islam. Berdasarkan kepada bukti sejarah dan artifak jelas menunjukkan bahawa Tanah Melayu telah menerima Islam sejak abad ke-7, 8 dan 9. Ini terbukti dengan penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu bertarikh 22 Februari 1303M.

Pemerintahan Islam bermula di Tanah Melayu dengan tertegaknya Kesultanan Melayu Melaka pada 1414M yang menjadikan Islam sebagai agama negara.

Begitu juga seperti yang diketahui umum berdasarkan fakta sejarah bahawa perundangan di Tanah Melayu sebelum kolonial juga berasaskan Islam seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang 99.

Pengaruh Islam di Tanah Melayu juga membawa masuk kalimah-kalimah Arab ke dalam bahasa Melayu. Istilah-istilah Arab digunakan dengan meluas dalam bahasa Melayu seperti nama-nama hari dan lain-lain. Tulisan jawi juga sebagai lambang pengaruh Islam yang kuat kepada umat Melayu.

Bahasa Melayu itu juga lahir daripada rahim agama Islam. Perlembagaan dalam perkara 160 (2) menetapkan orang Melayu mestilah beragama Islam. Oleh itu, kerana kalimah Allah adalah istilah yang telah diserap dalam Bahasa Melayu maka ia hendaklah difahami mengikut bangsa Melayu yang berasaskan agama Islam.

Dengan sebab itu ia membuka ruang agama lain menggunakan kalimah 'Allah' akan mengubah maksud asal kalimah 'Allah' menurut bahasa Melayu.

Justeru, jika dibenarkan Kristian menggunakan kalimah 'Allah' maka makna asal 'Allah' dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (iaitu Tuhan Yang Maha Esa) terpaksa ditukar kepada Tuhan Yesus/ Tuhan Berhala/ Tuhan Bapa/ Tiga Tuhan Bersatu (Triniti). Tidakkah ini mencelarukan?

Perkataan ahad adalah sama dengan wahid yang memberi maksud ke-Esaan. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Abu Ubaidah, sedangkan sebahagian ulama membezakannya.

Abu Sulaiman al-Khattabi berkata: "Wahid menunjukkan ke-Esaan pada zat tanpa sebarang tandingan, sedangkan ahad pula bersifat tunggal dengan maknanya tanpa disekutukan oleh seseorang."

Sayid Qutub berkata: "Itulah hakikat ke-Esaan kewujudan Allah SWT. Di sana tiada hakikat melainkan hakikat Allah SWT. Tiada kewujudan hakiki melainkan kewujudan Allah SWT. Segala maujud yang lain adalah mengambil kewujudan mereka dan kewujudan Allah SWT yang hakiki."

Ia juga merupakan hakikat ke-Esaan Pencipta yang tiada tandingannya. Itulah akidah hati nurani dan itulah juga pentafsiran bagi kewujudan alam. Apabila pentafsiran ini mantap dalam hati dan kefahaman ini jelas dan terang maka bersihlah hati dari segala kepercayaan yang karut dan dari segala pergantungan dengan yang lain dari zat Allah SWT.

Iaitu hati bersih daripada pergantungan dengan sesuatu yang lain. Justeru, tiada hakikat bagi sesuatu kewujudan kecuali kewujudan Ilahi dan tiada hakikat bagi sesuatu kuasa pencipta kecuali iradat ilahiah sahaja. Tiada ertinya bergantung dengan sesuatu yang tidak mempunyai sebarang hakikat bagi kewujudannya dan sebarang hakikat bagi kuasa pencipta-Nya.

Bagi siapa yang ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut, sila rujuk buku Keabsahan Penggunaan Nama Allah SWT Hanya Untuk Orang Islam terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Apabila hati telah bersih dari segala perasaan terhadap yang lain dari hakikat Allah yang tunggal dan bersih dari pergantungan kepada yang lain dan hakikat Allah, maka ketika itu ia akan bebas dari segala belenggu dan ikatan, keinginan nafsu yang menjadi punca segala perkara buruk.

Apabila mantapnya kefahaman ini maka di tahap inilah hati seseorang akan melihat kudrat Allah SWT menguasai segala sesuatu yang dilihatnya.

www.utusan.com.my

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez