Sunday, May 29, 2011

Raikan beza pandangan dalam Islam

Ini disebut khilaf, ditafsirkan sebagai "sesuatu yang tidak disepakati oleh para fuqaha dalam masalah-masalah ijtihadiyah (nas yang kurang jelas) tanpa memandang betul, salah atau ganjil pendapat yang dikemukakan”.

Dalam banyak hal agama, para ulama mempunyai pandangan atau tafsiran yang berbeza. Sungguhpun begitu, mereka adalah mujtahid, yang ada dalil sahih bagi mengukuh dan memperjelas pandangan mereka. Adab yang dipraktik ialah tidak menyalahkan, malah menghormati pandangan sesama mereka. Jika ijtihad itu betul, maka mendapat dua pahala, jika salah mendapat satu pahala.

Berhubung status kaki wanita, mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan ia bukan aurat tapi mazhab Hambali dan Syafie berpendirian sebaliknya. Jadi, mana yang benar dan perlu diikuti? Bolehlah rujuk kitab Fiq Ala Mazahib Arbah (Juz 1, hal 584). Dalam kitab Al-Mufassal tulisan Dr. Abd Karim Zaidan, bacalah bab “Adakah kaki wanita dikira aurat?” (Al-Mufassal fi Ahkam al Mar ah wa al-bait-al Muslim fi al- Syari’ati al-Islamiah, Jilid 3, masalah 2282, hal 198).

Setiap Muslimin boleh mengikut pegangan mana-mana mazhab, tapi di Malaysia, kita berpegang kepada mazhad Syafie sejak dulu lagi. Namun kita tidak meletakkan pandangan Imam Syafie sebagai lebih muktamad, benar atau tepat berbanding imam lain. Sikap merasa lebih benar, mengetepikan ulama lain yang berbeza pendapat atau menuduh pihak lain bidaah bukan sifat Islamik.

Orang berilmu lebih mudah menerima pendapat berlainan. Sebaliknya, orang cetek ilmu mudah melemparkan tuduhan sekali gus menunjukkan sifat buruk mereka tentang agama. Mereka jahil memahami sumber hukum syarak yang telah disepakati oleh para fuqaha’ iaitu Al-Quran, hadis, ijmak’ dan qias. Apalagi jika mereka hanya berpandu kepada tok guru atau ustaz tertentu sahaja, yang adakalanya mentafsir sesuatu isu berdasarkan pandangan atau kaedah ilmu tersendiri. Sikap seperti ini dikritik dalam al-Qur’an seperti maksud firman Allah ayat 170 Surah al-Baqarah.

Maka apabila berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat, seseorang itu hendaklah memberi keutamaan kepada perkara yang sememangnya perlu diutamakan mengikut tempat, masa dan keadaan (fiqh al-awlawiyyat). Pesan Rasulullah saw: “Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan menakutkan.” (Sahih al-Bukhari).

Maksudnya jika ada pendapat atau hukum yang lebih memudahkan umat Islam, hendaklah ia diberi tumpuan (fiqh al-taysir). Namun, sebahagian orang keberatan menyampaikan sesuatu yang memudahkan bimbang ia diperlekehkan masyarakat. Keberatan ini tidak sepatutnya timbul. Sikap berhati-hati memang baik, namun jangan sampai diletakkan pada tempat yang salah. Sikap sebegini bukan alasan untuk menyembunyikan sesuatu yang mudah kerana kemudahan itu sendiri merupakan roh atau tujuan syariat Islam.

Islam tidak melarang khilaf, malah para sahabat Rasulullah saw pernah berlainan pendapat dalam sesuatu fatwa tetapi mereka tidak berpuak-puak sehingga berpecah. Mereka saling menghormati walaupun tidak berkongsi fikiran.

Jadi bagaimanakah caranya untuk kita sentiasa mendapat rahmat Allah dalam kepelbagaian pendapat ini?

Hayatilah firman Allah SWT pada ayat 12 Surah al-Hujurat. Jelas, syariat Islam menggalakkan muzakarah dan berbincang dalam sesuatu perkara berlandaskan etika yang diterima: berhujah atas dasar akal sihat , hati ikhlas dan berbaik sangka, guna disiplin ilmu dan sumber hukum syariat, debat secara matang, elak menonjol diri atau mengaib pihak lain, apalagi menuduh tanpa bukti. Harus berfikiran terbuka dan tidak memaksa. Andainya tiada konsensus, tidaklah perlu bergaduh. Ia menggambarkan sifat dinamis golongan pandai agama merungkai pelbagai persoalan. Justeru, perbezaan pendapat antara ulama bukan sahaja perlu diterima malah diraikan.

Ingat, Allah SWT memerintahkan kita bersatu, bermuafakat dan melarang berpecah belah seperti maksud firman-Nya dalam ayat 59 Surah an-Nisa. Apa yang penting bagi umat Islam ialah berganding bahu menegakkan syariat Islam dalam diri, rumah tangga, masyarakat dan negara. Seterusnya memerangi kemaksiatan dan kemungkaran yang disepakati dan bekerja keras menegakkan yang makruf yang diijmak ulama di samping berlapang dada dan bertolak ansur ketika menghadapi perkara-perkara khilaf dalam semangat persaudaraan Islam dan kesatuan ummah.

sumber : sinarharian.com.my

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez