Pameran ini perlu dikunjungi oleh bukan saja pencinta sejarah, tetapi masyarakat Islam kerana ia memaparkan sejarah ketamadunan Islam itu sendiri.
Rahimjon yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang seni lukis, membawakan hasil seni Asia Tengah yang menarik dan mempunyai nilai tinggi.
“Setiap hasil seni yang dipamerkan di sini mempunyai kisah sejarah dan peristiwa penting dalam ketamadunan Islam,” katanya ketika ditemui selepas perasmian pameran tersebut oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Menurut Rahimjon, setiap lukisan tersebut mempamerkan kreativiti yang relatif dengan sejarah Islam dan saling berkaitan dengan kontemporari Uzbekistan.
“Lukisan ini memaparkan kesenian yang bermula sejak abad ke-7 hingga sekarang dengan kebanyakannya menumpukan pada objek atau monumen seni bina Islam yang menakjubkan di Uzbekistan.
“Contohnya lukisan Kompleks Makam Zangi yang dihasilkan pada 2006, menggambarkan bangunan Islam yang dikaitkan dengan pemerintahan pemimpin Agung Amir Temur,” katanya.
Beliau berkata, bangunan tersebut dibina di bawah arahan Amir Temur semasa kepimpinannya antara abad ke-13 dan ke-14, namun ia diubahsuai sepenuhnya semasa kemerdekaan Uzbekistan.
“Pada 1970, saya turut menghasilkan lukisan Makam Lama Imam Bukhari, iaitu seorang cendekiawan hadis yang terkenal,” katanya.
Selain itu, pameran tersebut turut mengetengahkan kira-kira 30 bahan seramik, fabrik dan aksesori seperti permaidani yang didatangkan khas dari Uzbekistan.
“Permaidani misalnya, ialah seni kraf tangan yang tinggi nilainya dalam kalangan masyarakat Uzbekistan dan ditenun menggunakan tangan serta dihasilkan daripada bulu unta,” katanya.
Menurutnya, kesemua kraf tangan berkenaan daripada Persatuan Kraftangan Uzbekistan, ditubuhkan pada 1997 bertujuan menyokong semua kerja tangan yang dihasilkan warga negara tersebut.
“Seperti rehal ini (sambil menunjukkan ke arah rehal tersebut), ia diperbuat daripada kayu pokok walnut dan dihasilkan melalui potongan kayu tanpa belah.
“Daripada bongkah kayu berkenaan ia diukir kemas menjadi rehal yang boleh disesuaikan dengan ketinggian mengikut keselesaan ketika membaca al-Quran,” katanya.
Sumber: www.sinarharian.com.my
Saturday, January 22, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment