Sunday, January 30, 2011

Seni barangan logam dunia Islam

Sebagai contoh, untuk rekaan lampu minyak selain mempunyai satu tangkai ia juga mempunyai empat tempat sumbu yang boleh menghasilkan lebih banyak sumber api dan lebih terang.

Satu lagi teknik seni barangan logam dunia Islam ialah tebukan. Teknik ini berkembang dengan cepat di bahagian timur wilayah Islam seperti di Iran ketika itu.

Teknik ini digunakan dalam pembuatan barangan logam seperti lampu masjid yang digantung dan tempat bara yang digunakan untuk membakar setanggi.

Teknik ini bersesuaian dengan kegunaan kedua-dua jenis barangan yang dihasilkan kerana lampu memerlukan lubang tebukan untuk cahaya keluar dan tempat bara juga memerlukan ruang tebukan untuk wangian yang dihasilkan dari setanggi dapat dinikmati.

Tempat bara sering digunakan oleh golongan berada untuk mengharumkan ruangan kediaman mereka dengan bahan wangian yang mahal dan bermutu yang berasal dari India dan Semenanjung Tanah Arab.

Teknik pembuatan barangan logam terus berkembang dalam dunia Islam. Satu lagi jenis teknik pembuatan barangan logam diperkenalkan oleh salah seorang tokoh pencipta Islam, al-Jazari, ialah teknik tatahan.

Teknik tatahan adalah teknik pembuatan barangan logam yang menggunakan lebih daripada satu jenis logam. Untuk menghasilkan teknik ini, bentuk rekaan hiasan yang hendak digunakan akan dilukis di atas logam utama kemudian ia dipotong dan permukaannya dikasarkan supaya memudahkan logam lain dilekatkan di atasnya. Sejenis damar hitam digunakan oleh tukang besi sebagai gam.

Pilihan kepingan logam seperti tembaga, perak dan emas digunakan sebagai bahan tatahan kerana perbezaan warna dan kilatannya.

Kemahiran tukang barangan logam dunia Islam ini juga turut diminati di wilayah bukan Islam sehingga abad ke 14 Masihi.

www.utusan.com.my

Friday, January 28, 2011

Benarkah sebaik-baik jin adalah sejahat manusia?

Kenyataan yang terlalu umum 'sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia' ini secara tidak langsung akan menzalimi sebahagian jin Islam yang dipuji Allah dan disebut kisah mereka dalam al-Quran. Mereka adalah generasi awal jin Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam kepada makhluk jin kerana jin dan manusia mempunyai tanggungjawab agama dan akan dihisab di akhirat kelak (al-Rahman [55:31-36]).

Generasi awal jin Islam yang disebut kisah mereka dalam al-Quran ini selayaknya digelar sahabat nabi kerana memenuhi ciri serta takrifan para ulama hadis iaitu sesiapa sahaja yang bertemu dan beriman dengan Nabi Muhammad SAW.

Sekiranya kenyataan 'sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia' ini terus dipegang, kita secara tidak langsung akan menghukum para sahabat nabi jauh lebih jahat daripada manusia, sedangkan para ulama sepakat mengatakan para sahabat adalah adil dan baik.

Generasi awal jin ini juga diiktiraf sebagai rasul atau utusan pendakwah dalam kalangan mereka. Firman Allah: "Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?)".-al-An'am [6:130].

Hakikatnya, para rasul hanya diutus dari kalangan manusia. Namun begitu, rasul dari kalangan jin dalam ayat ini adalah wakil kepada rasul atau pendakwah dari kalangan jin yang mendengar bacaan al-Quran yang dibaca oleh Nabi Muhammad (Tafsir al-Razi). Kisah mereka direkodkan dalam al-Quran.

Sebuah hadis turut merekodkan baginda Rasulullah SAW pernah memuji para sahabatnya dari golongan jin yang begitu sensitif terhadap al-Quran. Baginda pernah membacakan surah al-Rahman dari awal sehingga akhir kepada para sahabat. Selain itu, para ulama hadis seperti Imam Ibn Hajar al-Asqalani tidak ketinggalan menyenaraikan nama golongan awal jin bersama nama para sahabat nabi yang lain. Antara nama yang disebut adalah Zawba'ah, al-Adras, Hasir, Khasir dan sebagainya (al-Isabah fi Ma'rifat al-Sahabah).

Mungkin ada segelintir pihak cuba mempertahankan kenyataan meragukan tersebut akan mengatakan bukti harian jelas menunjukkan jin banyak melakukan kerosakan dan kebiadapan terhadap manusia. Banyak sekali hasutan dan rasukan berlaku yang memporak perandakan hidup manusia. Sebenarnya kejahatan serta kebiadapan itu tidak hanya berpunca daripada jin, bahkan ia juga berpunca daripada kejahatan manusia sebagaimana firman Allah:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi ini, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan). Kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik" (al-Rum [30:41-42]).

Oleh itu, pihak yang selalu menggunakan kenyataan tersebut perlu terlebih dahulu merujuk kepada sumber Islam bagi mengelakkan kejadian sebegini berlaku.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

www.utusan.com.my

Saturday, January 22, 2011

Papar Sejarah Tamadun Islam

Pameran ini perlu dikunjungi oleh bukan saja pencinta sejarah, tetapi masyarakat Islam kerana ia memaparkan sejarah ketamadunan Islam itu sendiri.

Rahimjon yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang seni lukis, membawakan hasil seni Asia Tengah yang menarik dan mempunyai nilai tinggi.

“Setiap hasil seni yang dipamerkan di sini mempunyai kisah sejarah dan peristiwa penting dalam ketamadunan Islam,” katanya ketika ditemui selepas perasmian pameran tersebut oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurut Rahimjon, setiap lukisan tersebut mempamerkan kreativiti yang relatif dengan sejarah Islam dan saling berkaitan dengan kontemporari Uzbekistan.

“Lukisan ini memaparkan kesenian yang bermula sejak abad ke-7 hingga sekarang dengan kebanyakannya menumpukan pada objek atau monumen seni bina Islam yang menakjubkan di Uzbekistan.

“Contohnya lukisan Kompleks Makam Zangi yang dihasilkan pada 2006, menggambarkan bangunan Islam yang dikaitkan dengan pemerintahan pemimpin Agung Amir Temur,” katanya.

Beliau berkata, bangunan tersebut dibina di bawah arahan Amir Temur semasa kepimpinannya antara abad ke-13 dan ke-14, namun ia diubahsuai sepenuhnya semasa kemerdekaan Uzbekistan.

“Pada 1970, saya turut menghasilkan lukisan Makam Lama Imam Bukhari, iaitu seorang cendekiawan hadis yang terkenal,” katanya.

Selain itu, pameran tersebut turut mengetengahkan kira-kira 30 bahan seramik, fabrik dan aksesori seperti permaidani yang didatangkan khas dari Uzbekistan.

“Permaidani misalnya, ialah seni kraf tangan yang tinggi nilainya dalam kalangan masyarakat Uzbekistan dan ditenun menggunakan tangan serta dihasilkan daripada bulu unta,” katanya.

Menurutnya, kesemua kraf tangan berkenaan daripada Persatuan Kraftangan Uzbekistan, ditubuhkan pada 1997 bertujuan menyokong semua kerja tangan yang dihasilkan warga negara tersebut.

“Seperti rehal ini (sambil menunjukkan ke arah rehal tersebut), ia diperbuat daripada kayu pokok walnut dan dihasilkan melalui potongan kayu tanpa belah.

“Daripada bongkah kayu berkenaan ia diukir kemas menjadi rehal yang boleh disesuaikan dengan ketinggian mengikut keselesaan ketika membaca al-Quran,” katanya.

Sumber: www.sinarharian.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez