Tuesday, March 31, 2009

PERTOLONGAN ALLAH AMAT DEKAT


DOA DIMURAHKAN REZEKI, SURAH AL WAQI'AH DAN DEKATNYA ALLAH


RENUNGKAN INI:

Abu Hurairah r.a meriwayatkan “bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, ALLAH SWT berfirman: "... Adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku, jika dia mengingat Aku di dalam hatinya, maka Aku mengingati dia dalam hatiKu, dan jika dia mengingati Aku dalam jemaah (keramaian) maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih baik (iaitu dalam jemaah para malaikat yang maksum dan suci dari segala dosa). Apabila hambaku mendekatiKu sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari”

Hadis Rasulullah s.a.w " Sesiapa menjadikan surah al-Waqi'ah sebagai wirid [bacaan] setiap malam, maka dia tidak akan jatuh miskin."
Antara khasiat dan kelebihan surah Al Waqi'ah sepertimana disebut dalam buku "Rahsia dan Fadhilat Ayat 1000 Dinar dan Surah Al Waqi'ah serta Doa-doa Murah Rezeki " ialah:

a. Meringankan siksa kubur
b. Mengurangi atau meyembuhkasn orang yang sedang sakit.
c. Selamat bersalin
d. Membuka pintu rezeki yang halal.

- Untuk buka rezeki bacalah Surah Al-Waqiah setiap hari berturut-turut 40 hari / malam, jangan putus, kemudian selepas 40 hari boleh lah jadikan wirid tiap-tiap malam.

Selepas baca surah Al Waqi'ah, baca doanya. Carilah dalam kitab-kitab berkaitan amalan dalam Islam. Terjemahan doa itu dalam Melayunya ialah seperti berikut:

" Ya Allah, turunkanlah hidangan bagi kami dari langit sebagai keraian, iaitu bagi orang-orang yang bersama kami, dan yang hidup selepas kami, serta menjadi bukti atas kekuasaan-Mu, berilah rezeki untuk kami, kerana Engkau sebaik-baik Pemberi rezeki. Ya Allah, sekiranya rezeki kami berada di langit, maka turunkanlah ia ; jika ia ada di bumi, keluarkanlah ia, dan jika ia ada di dalam lautan, munculkanlah ia. Sekiranya rezeki kami ada di tempat yang jauh, dekatkanlah ia ; jika ia sedikit, banyakkanlah ia; dan jika caranya sukar untuk sampai kepada kami, mudahkanlah ia, serta pindahkanlah rezeki tersebut kepada kami, dengan kemuliaan, kepemurahan dan kebaikan-Mu, dengan rahmat-Mu, wahai Yang Maha Mengasihi di antara yang pengasih."

Kemudian jangan lupa banyakkan berselawat kepada Rasulullah s.a.w.

Fadhilat Solat

Solat adalah satu perintah yang diwajibkan ke atas orang Islam sebanyak lima kali sehari. Umat Islam dituntut melakukan ibadat itu menurut sebagaimana diperintahkan Rasulullah s.a.w, dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salamnya dengan penuh takwa. Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat, di antaranya:
  • Solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampiri diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya. "Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha:14)
  • Mereka yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan.
  • Manusia tidak lepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. "Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu-waktu solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)
  • Solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si pelakunya dari melakukan maksiat dan kemungkaran. "Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar, dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (al-Ankabut:45)
  • Solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup. "Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (al-Mukminun:1-2)
  • Orang yang melakukan solat secara sempurna dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan sekali gus menjadikan kehidupannya lebih ceria. "Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (al-Ma'arij: 19-23)


 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez