Monday, July 18, 2011

TANDA KEMATIAN

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka Malaikat Maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi Malaikat Maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun Malaikat Maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

TANDA 7 HARI

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

TANDA 3 HARI

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.

Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

TANDA 1 HARI
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

TANDA AKHIR

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Sumbangan: Hamba Allah dan dipetik dari buku – 100 Hari Menjelang Mati

Friday, July 15, 2011

Asal perkataan Allah dan maksudnya

Allah adalah ism alam yang menunjukkan atas zat di mana semua nama Allah yang mulia terhimpun pada Allah. Allah ialah nama-Nya Yang Maha Agung.

Al-Khazin dalam tafsirnya berkata: "Allah adalah nama khas bagi Allah yang bersifat Tunggal dan Esa, tiada musytaq (terbitan) dan tidak disekutukan oleh sesuatu."

Dalam Tafsir Hadaiq al-Rauh al-Raihan menyebut: "Allah maknanya yang berhak diibadat, tidak kepada yang lain."

Konteks Bahasa Melayu

Prof. Syed Mohd Naquib al-Attas menyebut: "Bahasa membayangkan hakikat kewujudan. Menyeludupkan faham-faham kunci yang asing pada sesuatu bahasa melibatkan bukan semata-mata menterjemahkan kata-kata, bahkan lebih mendalam kesannya, ia juga melibatkan penterjemahan rupa cipta perlambangan yang dimiliki oleh sistem besar pandangan alam asing yang tiada bersesuaian dengan pandangan alam yang ditayangkan oleh bahasa yang ke dalamnya faham-faham itu diseludupkan."

Bahasa Melayu merujuk kepada bangsa Melayu. Rumpun bangsa Melayu adalah sinonim dengan agama Islam. Berdasarkan kepada bukti sejarah dan artifak jelas menunjukkan bahawa Tanah Melayu telah menerima Islam sejak abad ke-7, 8 dan 9. Ini terbukti dengan penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang, Terengganu bertarikh 22 Februari 1303M.

Pemerintahan Islam bermula di Tanah Melayu dengan tertegaknya Kesultanan Melayu Melaka pada 1414M yang menjadikan Islam sebagai agama negara.

Begitu juga seperti yang diketahui umum berdasarkan fakta sejarah bahawa perundangan di Tanah Melayu sebelum kolonial juga berasaskan Islam seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang 99.

Pengaruh Islam di Tanah Melayu juga membawa masuk kalimah-kalimah Arab ke dalam bahasa Melayu. Istilah-istilah Arab digunakan dengan meluas dalam bahasa Melayu seperti nama-nama hari dan lain-lain. Tulisan jawi juga sebagai lambang pengaruh Islam yang kuat kepada umat Melayu.

Bahasa Melayu itu juga lahir daripada rahim agama Islam. Perlembagaan dalam perkara 160 (2) menetapkan orang Melayu mestilah beragama Islam. Oleh itu, kerana kalimah Allah adalah istilah yang telah diserap dalam Bahasa Melayu maka ia hendaklah difahami mengikut bangsa Melayu yang berasaskan agama Islam.

Dengan sebab itu ia membuka ruang agama lain menggunakan kalimah 'Allah' akan mengubah maksud asal kalimah 'Allah' menurut bahasa Melayu.

Justeru, jika dibenarkan Kristian menggunakan kalimah 'Allah' maka makna asal 'Allah' dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (iaitu Tuhan Yang Maha Esa) terpaksa ditukar kepada Tuhan Yesus/ Tuhan Berhala/ Tuhan Bapa/ Tiga Tuhan Bersatu (Triniti). Tidakkah ini mencelarukan?

Perkataan ahad adalah sama dengan wahid yang memberi maksud ke-Esaan. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Abu Ubaidah, sedangkan sebahagian ulama membezakannya.

Abu Sulaiman al-Khattabi berkata: "Wahid menunjukkan ke-Esaan pada zat tanpa sebarang tandingan, sedangkan ahad pula bersifat tunggal dengan maknanya tanpa disekutukan oleh seseorang."

Sayid Qutub berkata: "Itulah hakikat ke-Esaan kewujudan Allah SWT. Di sana tiada hakikat melainkan hakikat Allah SWT. Tiada kewujudan hakiki melainkan kewujudan Allah SWT. Segala maujud yang lain adalah mengambil kewujudan mereka dan kewujudan Allah SWT yang hakiki."

Ia juga merupakan hakikat ke-Esaan Pencipta yang tiada tandingannya. Itulah akidah hati nurani dan itulah juga pentafsiran bagi kewujudan alam. Apabila pentafsiran ini mantap dalam hati dan kefahaman ini jelas dan terang maka bersihlah hati dari segala kepercayaan yang karut dan dari segala pergantungan dengan yang lain dari zat Allah SWT.

Iaitu hati bersih daripada pergantungan dengan sesuatu yang lain. Justeru, tiada hakikat bagi sesuatu kewujudan kecuali kewujudan Ilahi dan tiada hakikat bagi sesuatu kuasa pencipta kecuali iradat ilahiah sahaja. Tiada ertinya bergantung dengan sesuatu yang tidak mempunyai sebarang hakikat bagi kewujudannya dan sebarang hakikat bagi kuasa pencipta-Nya.

Bagi siapa yang ingin mendapatkan penjelasan lebih lanjut, sila rujuk buku Keabsahan Penggunaan Nama Allah SWT Hanya Untuk Orang Islam terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Apabila hati telah bersih dari segala perasaan terhadap yang lain dari hakikat Allah yang tunggal dan bersih dari pergantungan kepada yang lain dan hakikat Allah, maka ketika itu ia akan bebas dari segala belenggu dan ikatan, keinginan nafsu yang menjadi punca segala perkara buruk.

Apabila mantapnya kefahaman ini maka di tahap inilah hati seseorang akan melihat kudrat Allah SWT menguasai segala sesuatu yang dilihatnya.

www.utusan.com.my

Friday, July 1, 2011

Fadhilat Syaaban

4. Berkata Siti Aisyah R.A. , Bulan yang lebih dikasihi oleh Rasulullah S.A.W. ialah bulan Syaaban.

5. Sabda Nabi S.A.W. : Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban adalah bulan mengkhifarahkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah bulan menyucikan dosa (Jasmani dan Rohani).

6. Sabda Nabi S.A.W. : Bahawa berpuasa pada bulan Syaaban kerana membesarkan Bulan Ramadhan, siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa, maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatkan rezkinya baginya – antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah Taala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.

7. Sabda Rasulullah S.A.W. : Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang terlebih afdhal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban.

8. Sabda Nabi S.A.W. : Bahawa Bulan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Quran atas segala kalam. Kelebihan Syaaban atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihanku atas segala Ambia’ (Nabi-nabi). Kelebihan Ramadhan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah Taala atas sekalian makhlukNya. (Al-Hadis).

9. Bulan Syaaban – Keagungan malamnya dengan malam Nisfu Syaaban seperti keagungan Rejab dengan malam Isra’ Mikrajnya , dan keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qodarnya. Maka pada malam Nisfu Syaaban telah datang jibrail kepada Rasulullah S.A.W. lalu katanya : Angkat kepalamu kelangit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang tiada menyengutukan Allah sesuatu, kecuali : tukang nujum , kekal dalam zina, kekal minum arak dan yang menderhakai terhadap ibubapa. (Al-Hadis).

10. Sabda Nabi S.A.W. : Allah menilik pada hambanya pada malam Nisfu Syaaban maka diampunkan dosa segala makhlukNya melainkan orang yang syirik dan orang yang tiada bertutur dengan saudaranya.

11. Sabdanya lagi : Apa datangnya malam Nisfu Syaaban maka berjagalah kamu pada malamnya bersembahyanglah, banyakkan ibadah dan puasalah kamu pada siangnya. Allah S.W.T. berfirman: Adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang yang ditimpa bala maka Aku afiatkannya. Adakah orang yang meminta rezki maka Aku akan pemudahkan urusan rezkinya, demikianlah pertanyaan lainnya sehingga keluar fajar subuh.

12. Tersebut dalam kitab Al-Barokah : Bahawa jin, burung, binatang-binatang buas, juga ikan di laut berpuasa mereka pada hari Nisfu Syaaban.

13. Tersebut dalam kitab Iqna’ : Bahawa Jibril bersungguh-bersungguh pada malam Nisfu Syaaban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada Rasulullah S.A.W. kali keduanya, katanya : Ya Muhammad !, gembiralah kamu bahawa Allah Taala mengampunkan segala ummatmu orang yang tiada menyengutukannya sesuatu, angkatkan kepalamu, lalu Rasulullah pun mengangkatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala pintu syurga. Dalam riwayat yang lain pula menyatakan terbuka segala pintu langit. Pada pintu langit pertama Malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang ruku’ pada malam ini. Pada pintu langit yang kedua Malaikat menyeru kemenangan kepada orang yang sujud pada malam ini. Pada pintu langit yang ketiga Malaikat menyeru kemenangan kepada orang yang minta doa pada malam ini. Pada pintu langit yang keempat Malaikat menyeru kemenangan pada orang yang berzikir pada malam ini. Pada pintu langit yang kelima Malaikat menyeru kemenangan pada orang yang menangis pada malam ini. Pada pintu langit yang keenam Malaikat menyeru kemenangan pada orang yang mengerjakan amal kebajikan pada malam ini, dan pada pintu langit yang ketujuh Malaikat menyeru kemenangan pada orang yang meminta, maka dikurniakan permintaannya itu, dan pada pintu yang kelapan Malaikat menyeru: Adakah orang yang meminta ampun maka diampunkan baginya. Bertanya aku kepada Jibrail, sampai bilakah terbukanya pintu ini (diterima doa) – Jawab Jibrail : Sehingga naiknya fajar subuh. Dan katanya lagi: pada malam ini dimerdekanya hambanya yang mukmin lelaki dan perempuan dari api neraka sebanyak bulu kambing Bani Kilab (Bani Kilab diantara orang-orang Arab yang paling banyak memelihara kambing). Dalam satu riwayat yang lain pula bahawa Allah memerdekakan hambanya daripada neraka sebanyak bintang-bintang dilangit dan sebanyak hari-hari di dunia ini serta malamnya. Pada malam inilah dihantarkan Allah akan Jibrail ke syurga untuk menghiasi syurga.

14. Kata Syeikh Abdul Qadir Jailani di dalam Ghaniah : Bahawa malam Nisfu Syaaban adalah hari raya para Malaikat, begitu juga pada malam Lailatul Qadar mereka tidak tidur, dipenuhi dengan amal dan ibadah sepanjang-panjang malamnya, dan bagi anak-anak Adam berhari raya padanya pada siang hari dengan berpuasa dan mengerjakan ibadah, kerana mereka tidur pada malamnya.

15. Allah tidak ampunkan dosa pada malam Nisfu Syaaban terhadap enam golongan manusia :
(1) Orang yang kekal minum arak.
(2) Orang yang derhaka dua ibubapanya,
(3) Orang yang kekal dalam zina,
(4) Orang yang banyak berkelahi,
(5) Orang yang melakukan penjualannya dengan sumpah yang dusta,
(6) Orang yang memperlagakan orang supaya berkelahi. (Al-Hadis).


16. Sesiapa yang sembahyang pada malam Nisfu Syaaban daripada ummat Muhammad S.A.W. terlebih afdhal daripada ibadatnya 400 tahun. Demikian Allah S.W.T. memberitahu kepada Nabi Isa A.S. lalu Nabi Isa pun berdoa kepada Allah : Mudah-mudahan aku daripada Ummat Nabi Muhammad S.A.W. (Diqabulkan Allah Taala akan doanya bahawa Nabi Isa A.S. akan zahir bila berlakunya hari qiamat menentang Dajjal)

17. Telah disebut empat malam istimewa tentang beribadah (berbuat amal kebajikan); iaitu malam Nisfu Syaaban, malam Raya Fitrah yang pertama, malam Raya Aidiladha yang pertama, dan malam Arafah. Disembunyi malam Lailatul Qadar kerana bahawasanya malam itu malam rahmat dan merdeka daripada api neraka, supaya sepanjang malam ramadhan atau sepanjang sepuluh malam yang terakhir daripada Ramadhan ummat Muhammad berlumba-lumba dalam ibadah dengan berjaga malamnya. Demikian pula saat mustajab doa pada hari Jumaat.
Demikian juga disembunyikan : اسم الاعظام (nama Allah yang Teragong) di dalam Asmaul Husna yang amat mustajab doa kerananya.

18. Barangsiapa membaca pada bulan Syaaban :

(Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada kami sembah melainkan Dianya dengan seikhlas lagi teguh atas dasar agama (tauhid) walaupun dibenci oleh orang–orang kafir).

Maka ditulis baginya umpama ibadah 1000 tahun (At-Taurah) dan dihapuskan daripadanya dosa 1000 tahun dan keluarlah dari kuburnya dalam keadaan mukanya bercahaya seperti bulan purnama dan ditulis pada dahinya (siddiqo) yakni orang-orang yang benar.

www.adlizakaria.blogspot.com

Saturday, June 25, 2011

KELEBIHAN BULAN REJAB

* Puasa lapan hari pada bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu syurga.

* Puasa sembilan hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu, MENGUCAP DUA KALIMAH SHAHADAH tidak ditolak dia masuk syurga.

* Puasa 10 hari pada bulan Rejab Allah jadikan baginya hamparan perhentian di Titi Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu di hari kiamat.

* Puasa 16 belas hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.

* Puasa 19 belas hari pada bulan Rejab, dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Allah Adam a.s.

* Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Maka mulailah beramal barang yang tinggi daripada umurnya (pembaharuan umur).

Berkata Saidina Ali:

* Puasa Rejab 13 hari seperti puasa tiga ribu tahun.
* Puasa Rejab 14 hari seperti puasa sepuluh ribu tahun.
* Puasa Rejab 15 hari seperti puasa seratus ribu tahun.

Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Qur'an atas segala Qalam.

Puasa sehari pada bulan Rejab seperti puasa empat puluh tahun dan diberi minum air dari Syurga.

Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat di atas Titi Sirotalmustaqim di hari kiamat.

Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya.

Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya.

Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Puasa Bulan Rejab wajib baginya:

* Diampunkan dosanya yang lalu.
* Dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
* Terlepas dari dahaga di hari kiamat.

Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. Sasiapa bersedekah pada
bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu ruma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu
kejahatan.

Tiap sehari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab seperti ibadat seribu Haji dan Umrah. Dibina mahligai seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada atahari seribu kali.

Bulan Rejab bulan Allah. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah. Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan
Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada Umat Muhammad.

Allah menjawap: Telah aku ampunkan mereka! Barangsiapa meminta ampun (bersitighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan
Rejab di haramkan tubuhnya daripada api neraka.

Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya:
"Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demi ketinggian Ku dankebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu dibawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu,
engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antarakau".(dari kitabRaudatul Ifkar)

Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.

Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus.

Siapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya(berjaga), seperti dia berpuasa tiga ribu tahun.

Diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Qur'an dinaik ketika berlalu di Titi Sirotalmustaqim.

Rejab ertinya ta'zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan). (Rahmat, pemurah, kebajikan). Kerana kebesaran, keagungan dan kemuliaan bulan Rejab itu
maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan beramal solih pada bulan Rejab, dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya.

Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan dengan BULAN ALLAH.

REJAB bulan menabur benih.
SYA'ABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADHAN bulan menuai.

REJAB menyucikan badannya.
SYA'ABAN menyucikan hatinya.
RAMADHAN menyucikan rohnya.

REJAB bulan taubat.
SYA'ABAN bulan muhibbah.
RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.

Sumber : www.ashtech.com.my

Friday, June 10, 2011

Seni Islam tradisional dan moden

Kompleks masjid itu merupakan antara bangunan yang penting di Abu Dhabi dan merupakan salah satu seni bina Islam moden paling cantik di dunia.

Rekaan seni bina masjid sebenar menggabungkan hampir kesemua ciri seni bina, rekaan dan bahan dari setiap benua.

Bahan binaannya didatangkan khas dari negara seperti Itali, Jerman, Morocco, India, Turki, Iran, China, United Kingdom, New Zealand dan Greece.

Bahan-bahan semulajadi yang digunakan berkualiti tinggi dan tahan lama seperti batu marmar, emas, batu separa berharga, kristal dan seramik.

Cetusan idea untuk membina kompleks masjid itu bermula pada tahun 1980-an. Tetapi ia mula dibina pada November 1996. Kerja-kerja pembinaan menggunakan lebih 3,000 tenaga buruh dan melibatkan kerjasama 38 syarikat pembinaan.

Kerja pembinaan merangkumi kawasan seluas 22,412 meter persegi yang menyamai saiz lima padang bola sepak.

Walaupun kompleks itu belum siap dibina sepenuhnya, dewan sembahyang masjid tersebut telah dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya pada hari raya tahun 2007 untuk jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri. Kompleks itu boleh memuatkan 41,000 orang pada satu-satu masa.

Bangunan kompleks masjid dihiasi dengan gabungan hiasan gaya moden dan tradisional.

Ia mempunyai halaman tengah yang mempunyai laluan masuk bermotif bunga-bungaan yang direka oleh Kevin Dean.

Rekaannya memperlihatkan gabungan motif tradisional geometri dan simetri Islam. Lantai halaman utama dihiasi dengan motif bunga-bungaan yang boleh ditemui di sekitar wilayah Teluk. Hiasan-hiasan ini diperbuat daripada batu marmar dengan menggunakan teknik tatahan dan ukiran.

Masjid itu mempunyai lebih 1,000 tiang yang diperbuat daripada batu marmar putih dan ditatah dengan batu separa berharga seperti lapis lazuli, batu akik, batu ametis, kulit kerang dan cengkerang ibu mutiara. Sementara 96 tiang di dalam dewan sembahyang utama dihiasi dengan tatahan ibu mutiara.

Selain itu, dewan sembahyang utama turut dihiasi dengan lampu candelier terbesar di dunia. Dengan diameter 10 meter, tinggi 15 meter dan berat melebihi sembilan tan.

Bahagian lantai pula dilapisi dengan permaidani tenunan tangan yang terbesar di dunia yang direka khas oleh seorang artis dari Iran, Ali Khaliqi dan disiapkan oleh 1,200 penenun.

Bagi hiasan kaligrafi seperti naskh, thuluth dan kufi, ia dihasilkan oleh beberapa penulis kaligrafi terkenal seperti Mohammed Mandi dari UAE, Farouk Haddad (Syria) dan Mohammed Allam (Jordan).

Bagi tulisan kaligrafi tughra di atas jubin seramik, ia dihasilkan oleh Sheikh Hasan Celbi penulis kaligrafi Turki yang ternama.

Keindahan dan keunikan seni bina Islam kompleks masjid yang menggabungkan seni hiasan Islam tradisional dan moden ini bukan sahaja menarik minat umat Islam di seluruh dunia, malah ia turut menarik minat Ratu Elizabeth II yang melawat kompleks masjid ini sempena lawatan baginda ke Abu Dhabi pada November 2010.

www.utusan.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez