Saturday, September 24, 2011

Darjah dan kedudukan ahli syurga berdasarkan amalan

Disebutkan dalam sebuah hadis sahih dari Anas bin Malik bahawa Ummu Haritsah datang menghadap Rasulullah SAW sedangkan Haritsah termasuk mujahid yang gugur dalam Perang Badar kerana terkena anak panah.

Lalu Ummu Haritsah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya telah berbuat untuk Haritsah dari hati saya. Jika sekarang ia di syurga, saya tidak akan menangis untuknya. Namun, jika ternyata tidak, engkau akan melihat apa yang akan saya lakukan.

Rasulullah menjawab: Apakah syurga hanya satu? Syurga itu banyak sekali, sedangkan syurga tertinggi adalah syurga Firdaus.

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ahli syurga itu memiliki peringkat, berdasarkan posisi mereka saat berada di syurga.
Dari Abu Said Al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ahli syurga itu saling melihat antara bilik dari atasnya, seperti mana saling memandangnya bintang yang beredar dan yang tetap di ufuk timur atau barat kerana di antara mereka saling memiliki kelebihan.

Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah di sana ada posisi yang khusus bagi para nabi, yang orang lain tidak akan boleh sampai ke sana? Rasulullah menjawab: Tidak demikian, demi Zat yang diriku berada di dalam kekuasaan-Nya. Nabi akan berada satu posisi bersama orang yang beriman kepada Allah dan yang membenarkan rasul itu. (Sahih Bukhari)

Dalam kitab Sunan Tirmizi dan Ibnu Majah, serta Sahih Ibnu Hibban, disebutkan hadis dari Abu Said, Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya ahli syurga yang berada pada tingkat tertinggi dapat melihat orang yang berada pada tingkat di bawahnya, seperti mana melihatnya bintang yang tertinggi di langit. Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar termasuk golongan yang menikmatinya. (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Kesabaran adalah usaha mengerahkan seluruh kemampuan jiwa dan tetap konsisten berdiri tegak di depan Allah dengan hati penuh pengabdian. Ini adalah ciri orang yang dekat dengan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Dan bukanlah harta atau anak-anakmu yang mendekatkan kamu kepada Kami, melainkan orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, mereka itulah yang memperbaiki balasan yang berlipat ganda atas apa yang telah mereka kerjakan; dan mereka aman sentosa di tempat yang tinggi (dalam syurga).

Sesungguhnya ramai orang yang memiliki darjat tinggi di syurga Allah antaranya syuhada, pengasuh anak yatim, orang yang mengurus janda dan orang miskin, orang yang hafaz al-Quran dan mengamalkannya.

Petikan daripada buku Bidadari, Syurga dan Penghuninya

Saturday, September 17, 2011

Puasa enam dibuat berterusan lebih afdal

Allah SWT tidak pernah berasa segan untuk memakbulkan doa yang dimohon dan gembira apabila diminta dalam kuantiti yang banyak.

Walaupun Ramadan sudah berlalu, kita masih lagi mempunyai talian hayat untuk menambahkan amalan Syawal, iaitu berpuasa enam hari selagi Syawal masih ada. Ia adalah puasa sunat selama enam hari bermula dua Syawal hinggalah penghujungnya.

Puasa Syawal adalah lebih afdal (lebih baik) dilakukan secara berturut-turut daripada dilakukan secara berselang seli. Berpuasa secara berturut-turut adalah digalakkan kerana ia lebih hampir kepada fokus yang tinggi kepada pengabdian berterusan.
Fadilat atau kelebihan puasa sunat Syawal disebutkan dalam hadis Abi Ayyub dari Abu Hurairah bahawa Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli berpuasa enam hari Syawal seolah-olah ia mendapat ganjaran berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim)

Ini disokong oleh As-Sya’bi dalam kitabnya Al-Manawi yang menunjukkan bahawa ganjaran puasa sunat Syawal sangat besar di sisi Allah SWT.

Ada riwayat menyebut, Allah SWT menciptakan langit dan bumi selama enam hari, iaitu pada Syawal. Sesiapa berpuasa pada bulan ini akan dianugerahkan kebajikan pahala seperti bilangan makhluk di dalamnya, diampunkan dosanya serta diangkat darjatnya di sisi Allah SWT. (Durratul Waizin 71)

Sufyan Atthauri pernah berdoa supaya diberi kekuatan untuk melakukan puasa Ramadan dan enam hari Syawal kerana kelebihan yang ada pada kedua-duanya.

Daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli dengan puasa Syawal seolah-olah ia baru saja dilahirkan dalam keadaan suci bersih dari dosa kesalahan.” (Targhib Wattarhib Fi Fadail A’mal)

Nabi SAW juga pernah mengumpamakan orang yang berpuasa selepas Ramadan seperti orang yang lari dari satu peperangan dan kembali untuk bertarung semula. Menunjukkan bahawa ia sanggup kembali ke medan perjuangan bagi meraih pahala berlipat ganda.

Antara tujuan atau hikmah puasa sunat Syawal adalah untuk mengekang nafsu balas dendam terhadap Ramadan lalu yang terkadang umat Islam terleka kerana keghairahan menyambut hari raya.

Fadilat lain, ditambahkan rahmat dan kempunan ketika hampirnya masa roh seseorang akan berpisah dengan jasad (sakratul maut), dipermudahkan ketika berurusan dengan dua malaikat di alam barzakh dan ganjaran pahala setahun serta tiket pelancongan ke syurga di bawah pembiayaan Allah SWT. (Durratu Nasihin-Ibnu Ahmad As Syakir)

Persoalan berkaitan menyatukan antara puasa sunat Syawal dan puasa qada menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan ulama muasarah (kontemporari) di mana keputusan mendapati mengasingkan antara puasa sunat Syawal dan puasa qada adalah lebih baik serta digalakkan kerana puasa qada mempunyai ruang masa yang banyak untuk dilaksanakan berbanding puasa Syawal.

Apa yang membimbangkan adalah sifat berlengah sesetengah kita untuk berpuasa Syawal sehingga luput waktu dan terlepas peluang keemasan ini. Semoga kemenangan Ramadan akan disambut lagi selepas kemenangan Syawal yang masih banyak berbaki, jangan tunggu lagi.

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP)

Thursday, September 1, 2011

Muhasabah di bulan Syawal

Demikian juga hari-hari yang berlalu dalam hidup kita. Setiap masa yang dilalui sepatutnya digunakan semaksima mungkin kerana ia pastinya tidak berulang lagi.

Umur yang dimiliki oleh kita mempunyai tarikh luputnya yang tersendiri. Bahkan Allah SWT akan membangkitkan persoalan umur dan bagaimana kita memanfaatkannya di akhirat kelak.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Setiap hamba di hari kiamat tidak akan mengorak langkah menuju ke mana-mana, selagi dia belum selesai disoal-siasat tentang empat perkara, tentang umur, ke manakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu? Di masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu? Tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya? Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmunya itu? (riwayat Tirmidzi).”

Pepatah Melayu ada menyebut, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Pepatah ini cukup bermakna kerana ia menganjurkan kita supaya sentiasa membuat muhasabah terhadap kehidupan yang ditempuhi.

Sekiranya ia bercanggah dengan penilaian syariah, maka lebih baik berpatah balik ke pangkal jalan. Walaupun kadang-kadang ia memerlukan pengorbanan, namun ia cukup berharga serta bernilai di sisi Allah SWT. Jangan sampai sudah terlambat, barulah hendak menyesali segalanya.

Terlalu banyak ayat yang tercatit dalam al-Quran menceritakan penyesalan orang-orang yang melakukan maksiat kepada Allah dan minta diberikan sedikit ruang masa untuk kembali ke dunia untuk melakukan amal kebajikan.

Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud:

l Sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhan mereka sambil berkata: Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami sekarang telah yakin dan beriman. (as-Sajadah: 12)

l Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajalku ke suatu masa yang sedikit lagi, maka aku dapat bersedekah dan dapat pula aku tergolong dalam orang-orang yang soleh. (al-Munafiqun: 10)

Demikianlah digambarkan sesalan golongan yang berbuat dosa di akhirat kelak. Amat dahsyat penyesalan itu sehingga merayu dan meratap kepada Allah SWT supaya diberikan sedikit masa untuk kembali ke dunia.

Marilah sama-sama kita bersyukur di atas nikmat masa yang diberikan Allah. Gunakanlah ia sebaik mungkin kerana kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Bulan Ramadan telah berlalu.

Namun, apakah amalan puasa yang kita jalani pada bulan tersebut di terima Allah? Atau puasa kita hanya menjadi sia-sia sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW?

Daripada Abu Hurairah Sabda Rasulullah SAW: “Berapa ramai daripada orang berpuasa yang tiada mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga, dan berapa ramai yang berjaga malam tiada mendapat apa-apa dari bangunnya kecuali letih kerana berjaga (riwayat Ahmad).”

Diharapkan semangat mengerjakan ibadah pada bulan tersebut dapat diteruskan dalam bulan-bulan yang lain juga. Dan sepatutnya kita tidak lupa membuat kesinambungan puasa Ramadan yang lalu dengan mengerjakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal ini.

Abu Ajjud berkata Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikutinya dengan enam hari Syawal, maka bagaikan berpuasa sepanjang masa. (riwayat Muslim).”

Justeru, marilah kita membersihkan diri dari dosa dan noda. Janganlah pada bulan Syawal yang mulia dicemari dengan maksiat kepada Allah SWT yang akan merosakkan benih-benih taqwa yang telah dituai selama sebulan.

Takwa kepada Allah SWT perlu dituai dengan penuh keimanan serta rasa syukur di atas peluang menjalani ibadah puasa selama sebulan. Mudah-mudahan Ramadan tahun hadapan akan kita temui lagi, insya-Allah.

www.utusan.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez