Sunday, May 29, 2011

Raikan beza pandangan dalam Islam

Ini disebut khilaf, ditafsirkan sebagai "sesuatu yang tidak disepakati oleh para fuqaha dalam masalah-masalah ijtihadiyah (nas yang kurang jelas) tanpa memandang betul, salah atau ganjil pendapat yang dikemukakan”.

Dalam banyak hal agama, para ulama mempunyai pandangan atau tafsiran yang berbeza. Sungguhpun begitu, mereka adalah mujtahid, yang ada dalil sahih bagi mengukuh dan memperjelas pandangan mereka. Adab yang dipraktik ialah tidak menyalahkan, malah menghormati pandangan sesama mereka. Jika ijtihad itu betul, maka mendapat dua pahala, jika salah mendapat satu pahala.

Berhubung status kaki wanita, mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan ia bukan aurat tapi mazhab Hambali dan Syafie berpendirian sebaliknya. Jadi, mana yang benar dan perlu diikuti? Bolehlah rujuk kitab Fiq Ala Mazahib Arbah (Juz 1, hal 584). Dalam kitab Al-Mufassal tulisan Dr. Abd Karim Zaidan, bacalah bab “Adakah kaki wanita dikira aurat?” (Al-Mufassal fi Ahkam al Mar ah wa al-bait-al Muslim fi al- Syari’ati al-Islamiah, Jilid 3, masalah 2282, hal 198).

Setiap Muslimin boleh mengikut pegangan mana-mana mazhab, tapi di Malaysia, kita berpegang kepada mazhad Syafie sejak dulu lagi. Namun kita tidak meletakkan pandangan Imam Syafie sebagai lebih muktamad, benar atau tepat berbanding imam lain. Sikap merasa lebih benar, mengetepikan ulama lain yang berbeza pendapat atau menuduh pihak lain bidaah bukan sifat Islamik.

Orang berilmu lebih mudah menerima pendapat berlainan. Sebaliknya, orang cetek ilmu mudah melemparkan tuduhan sekali gus menunjukkan sifat buruk mereka tentang agama. Mereka jahil memahami sumber hukum syarak yang telah disepakati oleh para fuqaha’ iaitu Al-Quran, hadis, ijmak’ dan qias. Apalagi jika mereka hanya berpandu kepada tok guru atau ustaz tertentu sahaja, yang adakalanya mentafsir sesuatu isu berdasarkan pandangan atau kaedah ilmu tersendiri. Sikap seperti ini dikritik dalam al-Qur’an seperti maksud firman Allah ayat 170 Surah al-Baqarah.

Maka apabila berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat, seseorang itu hendaklah memberi keutamaan kepada perkara yang sememangnya perlu diutamakan mengikut tempat, masa dan keadaan (fiqh al-awlawiyyat). Pesan Rasulullah saw: “Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan menakutkan.” (Sahih al-Bukhari).

Maksudnya jika ada pendapat atau hukum yang lebih memudahkan umat Islam, hendaklah ia diberi tumpuan (fiqh al-taysir). Namun, sebahagian orang keberatan menyampaikan sesuatu yang memudahkan bimbang ia diperlekehkan masyarakat. Keberatan ini tidak sepatutnya timbul. Sikap berhati-hati memang baik, namun jangan sampai diletakkan pada tempat yang salah. Sikap sebegini bukan alasan untuk menyembunyikan sesuatu yang mudah kerana kemudahan itu sendiri merupakan roh atau tujuan syariat Islam.

Islam tidak melarang khilaf, malah para sahabat Rasulullah saw pernah berlainan pendapat dalam sesuatu fatwa tetapi mereka tidak berpuak-puak sehingga berpecah. Mereka saling menghormati walaupun tidak berkongsi fikiran.

Jadi bagaimanakah caranya untuk kita sentiasa mendapat rahmat Allah dalam kepelbagaian pendapat ini?

Hayatilah firman Allah SWT pada ayat 12 Surah al-Hujurat. Jelas, syariat Islam menggalakkan muzakarah dan berbincang dalam sesuatu perkara berlandaskan etika yang diterima: berhujah atas dasar akal sihat , hati ikhlas dan berbaik sangka, guna disiplin ilmu dan sumber hukum syariat, debat secara matang, elak menonjol diri atau mengaib pihak lain, apalagi menuduh tanpa bukti. Harus berfikiran terbuka dan tidak memaksa. Andainya tiada konsensus, tidaklah perlu bergaduh. Ia menggambarkan sifat dinamis golongan pandai agama merungkai pelbagai persoalan. Justeru, perbezaan pendapat antara ulama bukan sahaja perlu diterima malah diraikan.

Ingat, Allah SWT memerintahkan kita bersatu, bermuafakat dan melarang berpecah belah seperti maksud firman-Nya dalam ayat 59 Surah an-Nisa. Apa yang penting bagi umat Islam ialah berganding bahu menegakkan syariat Islam dalam diri, rumah tangga, masyarakat dan negara. Seterusnya memerangi kemaksiatan dan kemungkaran yang disepakati dan bekerja keras menegakkan yang makruf yang diijmak ulama di samping berlapang dada dan bertolak ansur ketika menghadapi perkara-perkara khilaf dalam semangat persaudaraan Islam dan kesatuan ummah.

sumber : sinarharian.com.my

Monday, May 9, 2011

Analisis: Puak buta perlembagaan cuba lagakan Islam, Kristian

Jika apa yang disiarkan blog itu benar, adakah penganjur majlis berkenaan buta perlembagaan atau sengaja berniat jahat untuk mencetuskan permusuhan di kalangan umat Islam dan Kristian. Apakah mereka cuba menangguk di air keruh kerana umat Islam di Malaysia ketika ini memang dimomokkan dengan pelbagai isu politik semasa.

Soalnya, bolehkan Kristian menjadi agama Persekutuan? Bolehkah perlembagaan dipinda di Dewan Rakyat untuk mengubah apa yang termaktub. Sebenarnya, ia tidak mudah seperti difikirkan untuk mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat bagi mengubah perlembagaan kerana Islam bukan setakat agama rasmi, tetapi agama Persekutuan. Usaha mengubah apa yang termaktub dalam perlembagaan perlu perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam dan Majlis Raja-Raja.

“Ia tidak boleh dipinda dengan sokongan dua pertiga di Parlimen saja, sebaliknya perlu persetujuan Majlis Raja-Raja. Apa saja berkaitan Islam untuk dipinda atau dimansuhkan perlu dibawa kepada Majlis Raja-Raja,” kata Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Bolehkan Perdana Menteri dilantik di kalangan bukan Islam termasuk Kristian? Ini juga bertentangan dengan semangat perlembagaan walaupun tidak menya-takan dengan khusus Perdana Menteri semestinya Islam.

Amat tidak logik jika Perdana Menteri bukan Islam menasihati Yang di-Pertuan Agong yang menjalankan tugas sebagai Ketua Agama Islam. Justeru, melihat kepada perlembagaan, tidak sepatutnya ada pihak bermain api dengan membangkitkan usaha untuk menjadikan Malaysia negara Kristian dan melantik bukan Islam sebagai Perdana Menteri.

Jika ada juga usaha itu ia menguji ketegasan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertindak tegas. Golongan ini hanya membangkitkan kebencian antara rakyat Islam dan Kristian, sedangkan selama ini mereka hidup harmoni.

Polis tidak perlu menunggu sehingga masjid atau gereja dibakar untuk bertindak. Siasat hingga ke akar umbi untuk memastikan kesahihannya dan pastikan mereka yang terbabit diheret ke muka pengadilan mengikut Akta Hasutan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) walaupun sudah ada penafian terhadap perkara itu. Tindakan segera dapat menyelamatkan negara.

www.bharian.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez